kkkkkk

NGO ISLAM :12 resolusi isu kalimah Allah

20 pemimpin NGO Islam temui Penyimpan Mohor Besar Raja-RajaKUALA LUMPUR: Kira-kira 20 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan menemui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menyerahkan 12 resolusi berhubung bantahan penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam, pada Isnin ini. Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Ann Wan Seng berkata, resolusi dipersetujui bersama lebih 70 NGO Islam pada majlis Muzakarah Pakar – Isu Kalimah Allah, Rabu lalu akan diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di pejabatnya untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Katanya, jika ada isu berbangkit atau diminta menghadap Seri Paduka, pihaknya bersedia untuk berbuat demikian bagi menyatakan pendirian NGO Islam berhubung isu itu yang dibangkitkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly. Ann berkata, tidak timbul isu memohon permit daripada pihak berkuasa kerana majlis yang bakal berlangsung Isnin ini, bukan perhimpunan sebaliknya hanya pertemuan singkat antara pemimpin NGO dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum serahan resolusi. "Resolusi dibacakan Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Shukri Abdullah pada muzakarah itu tidak dilakukan sebarang pindaan kerana ia keputusan dibuat bersama.
"Kami sudah menghantar jemputan kepada pemimpin NGO yang berhasrat untuk turut serta dalam pertemuan itu dan kami mengharapkan ramai yang akan hadir," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Selain pemimpin Macma, pemimpin NGO lain yang dijangka menyertai majlis pertemuan itu itu ialah Teras Pengupayaan Melayu (Teras), PPIM, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Rabu lalu, Muzakarah Pakar – Isu Kalimah Allah 'Katakanlah Allah itu Yang Maha Esa' memutuskan untuk menyerahkan 12 resolusi, termasuk meminta Majlis Raja-Raja menangani segera isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama. Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan, Ann berkata kenyataan pemimpin negara itu adalah penjelasan bagi mengelak isu berkenaan mencetuskan sentimen dan emosi yang mungkin akan mencetuskan kejadian tidak diingini.