Berita Harian 16.1.2010
PETALING JAYA: Majlis Peguam Malaysia berpendapat isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak boleh diselesaikan di mahkamah, sebaliknya memerlukan pendekatan muzakarah dan dialog antara semua pihak terbabit. Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata pendekatan muzakarah dan dialog akan membolehkan kedua-dua pihak saling memahami, sekali gus dapat mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan isu itu tanpa konflik.
"Muzakarah dan dialog boleh dilakukan dua peringkat, iaitu pertama membabitkan dua pihak yang terbabit secara langsung, manakala peringkat kedua pula pihak lain yang berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. "Bukan semua isu kita hadapi boleh diselesaikan di mahkamah. Majlis Peguam dari awal sudah menyuarakan pendapat penyelesaian isu agama adalah melalui muzakarah dan dialog. "Saya tidak fikir isu ini satu perkara besar yang begitu sukar dan tidak dapat diselesaikan kerana dalam sejarah tanah air, kita pernah menghadapi masalah lebih buruk lagi," katanya selepas majlis pelancaran Fasa Kedua Kempen Perlembagaanku di Kolej Universiti Sunway di sini, semalam.