Bertindak atas aduan komuniti Kristian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan menutup beberapa laman anti Kristian.
Pengerusinya, Mohamed Sharil Tarmizi berkata penutupan itu termasuk laman “Semenajung Malaysia Anti Sabah and Sarawak”.
“Kami menghubungi Facebook (pentadbir) dan beberapa laman berkenaan ditutup,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Katanya, siasatan SKMM terhadap laman Facebook berkenaan masih berterusan.
PAS Sabah membuat laporan polis terhadap laman Facebook yang didaftarkan atas nama “Semenanjung Malaysia Anti Sabah and Sarawak" yang menghina penganut Kristian dan Malaysia Timur.
Gambar menghina penganut Kristian termasuk seekor katak dipaku ke salib menimbulkan kemarahan warga Sabah dan Sarawak.
Dua ahli politik Sarawak mengeluarkan kenyataan bagi meredakan kemarahan penduduk Borneo terhadap sentimen anti Kristian dan anti Malaysia Timur di Semenanjung sambil memberi amaran terhadap cadangan berpisah daripada Malaysia yang disifatkannya sebagai pengkhianat.
Menteri Kabinet Sarawak Tan Sri Dr James Masing berkata tidak perlu perbincangan untuk berpisah daripada Malaysia sebagaimana yang pernah dibangkitkan dalam laman Facebook oleh warga Sabah dan Sarawak.
“Jangan bangkitkan isu itu kerana ia tidak betul,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.
Amaran sama turut dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, masyarakat tidak seharusnya melampaui batas menggunakan media sosial.
“Kerajaan boleh bertolak ansur dalam kebanyakan perkara tetapi jangan mengapi-apikan, menghasut dan menjadi pengkhianat,” katanya. – 4 Febuari, 2014.

