kkkkkk

Jakim mahu ketua paderi guna kebijaksanaan

KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu Ketua Paderi Katolik, Murphy Pakiam menggunakan kebijaksanaan supaya tidak menggunakan kalimah Allah, bagi menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata selain kes berkenaan belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan wajib diambil kira. Beliau berkata, semua bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing.
"Keharmonian di Malaysia perlu dihargai bersama dan nasihat Perdana Menteri perlu diberi perhatian berat. "Jakim hairan kerana dalam Perlembagaan, Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan. "Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati semua sebagaimana mentaati Yang di-Pertua Agong sebagai ketua negara, begitu juga kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat dan bukan untuk kaum keturunannya saja," katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Wan Mohamad berkata, semua pihak perlu memahami realiti negara ini apabila pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua. Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak supaya memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan. "Bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain mengenai lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada Tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.