Oleh Khairul Azran Hussin.18.1.2010.Berita harian
Pemilihan wakil tokoh ulama, cendekiawan perlu dilakukan tanpa campur tangan politik
KUALA LUMPUR: Majlis perundingan antara agama perlu hanya dianggotai kalangan ulama, cendekiawan dan tokoh pelbagai agama tanpa dibayangi campur tangan pihak tertentu atau tekanan politik.
Sambil menyambut baik cadangan itu, pelbagai pihak turut berpendapat langkah itu akan mengelakkan ada pihak menyalahgunakan majlis perundingan itu untuk kepentingan politik, kerana dikhuatiri boleh memberi kesan negatif terhadap keharmonian negara.
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz berharap majlis perundingan itu dianggotai oleh mereka yang benar layak bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah atau kekeliruan di masa akan datang.
"Saya berpendapat ada kewajaran berhubungan cadangan itu. Namun, mereka yang menganggotai majlis itu perlulah dipilih betul-betul. Kalau wakil agama Islam, biarlah mereka yang paling layak dan begitu juga wakil gereja atau lain-lain agama.
"Ini bagi memastikan penerangan mengenai Islam dapat diberikan dengan sejelas-jelasnya sekali gus memberi kefahaman mengenai Islam apa yang boleh dan tidak boleh," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan serius memikirkan penubuhan majlis perundingan antara agama bagi membolehkan wakil agama berbincang dan mencari kesefahaman supaya isu agama tidak lagi dibangkitkan dan mendatangkan masalah kepada negara pada masa depan.
Presiden Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr Thomas Phillips, menyifatkan penubuhan majlis perundingan itu tepat pada masanya bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan isu agama antara rakyat pelbagai kaum terus berlaku.
"Saya berharap ia menjadi tempat kita berbincang, bertukar fikiran dan membincangkan pelbagai kekeliruan berkaitan agama. Saya yakin jika ia betul dibuat, ia akan memastikan Malaysia terus dalam keadaan harmoni," katanya.
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Arman Azha Abu Hanifah, berharap majlis perundingan yang bertujuan merapatkan rasa muhibah di kalangan penganut pelbagai agama di negara ini tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik.
"Perkasa akan menentang jika ada orang politik yang menganggotai majlis itu. Kalau ada orang politik benda yang elok akan menjadi tidak elok kerana matlamatnya akan menyimpang.
"Sebagai pengisian program ini kita menjemput tokoh bukan Islam untuk bersama-sama dalam dialog antara agama. Biarlah mereka yang tahu saja, selain pemimpin pelajar yang bakal mewarisi negara, " katanya.
Presiden Persatuan Gabungan India Malaysia, P Mukuntha, turut menggesa majlis perundingan itu bebas dari sebarang campur tangan politik atau pihak tertentu yang menggambarkan seolah-olah mereka ingin menonjolkan diri sebagai pejuang isu berkenaan.
"Biarlah mereka yang benar-benar layak menduduki majlis itu. Berbincang benda yang patut dan secara baik. Kita hendak tinggal di Malaysia bukan hanya beberapa hari saja, tapi beratus-ratus tahun lagi,"